:::.Tidakku Pinta Mahar Yang Tinggi

Martabat Wanita Di Sisi Agama

Sesungguhnya nilai seorang wanita itu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Islam meletakkan martabat seorang wanita itu terlalu tinggi. Tidak dapat dibeli dengan segala jenis harta. Mahar yang diberikan hanyalah sebagai penghargaan dan kehormatan dari pihak lelaki kapada wanita tersebut kerana sudi menjadi teman hidupnya, berjanji berkongsi suka duka bersama hingga ke akhir hayat.

Mazhab Syafie dan sebahagian ulama tidak menetapkan kadar yang terendah dalam meletakkan nilai mahar. Selagi mana mempunyai nilai ia diterima sebagai mahar.

Kita kembali kepada sejarah yang mana Rasul s.a.w bertanya kepada sahabat yang ingin berkahwin berapakah mahar yang mampu diberikan kepada pihak perempuan. Kerana apa, kerana ia mengikut kemampuan si lelaki. Seandainya ditanya kepada pihak perempuan, sudah pasti ia akan menyukarkan pihak lelaki.

Suami Akan Lakukan Yang Terbaik

Kepada kaum muslimah tidak perlulah risau, kerana bakal suami anda akan memberikan yang terbaik untuk anda.

Pemberian yang lahir dengan penuh keikhlasan dalam hati lelakilah sebenarnya membawa keberkatan dan kebahagian dalam sesebuah keluarga.

Bilamana lelaki memberikan mahar yang diminta oleh pihak perempuan dalam keadaan tertekan, penuh bebanan dan sebagainya, inilah yang akan membawa kemudaratan di masa hadapan, nauzubillah min zalik.

Mungkin dengan mahar yang tinggi itu, si lelaki akan mengungkit itu dan ini di masa hadapan.

"Aku bayar sampai RM11k, ingtkan serba boleh. Goreng ikan pun hancur isinya, masak nasi goreng pun jadi wajik, lipat baju pun tak pandai, masak kari pun masin dan bla bla bla...."

Pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku.

Pesan Rasulullah s.a.w.

Kita lupa akan pesan Nabi s.a.w yang mana nabi menyebut,

"Pernikahan yang paling berkat adalah yang paling mudah perbelanjaannya."

"Sesungguhnya semulia-mulia perempuan itu ialah yang paling mudah urusan maharnya."

"Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah."

"Berilah mahar sekalipun sebentuk cincin daripada besi."

Ini menunjukkan Islam tidak mahu menyusahkan umatnya dalam melaksanakan syariat kerana dengan itu akan timbul pelbagai masalah yang lain.

Sedarlah kita bahawa kita perlu mengubah kembali persepsi masyarakat yang mengatakan, lagi tinggi harga mahar lagi tinggi darjat seseorang wanita. Ini salah sama sekali.

Saya masih ada seorang kakak yang belum berkahwin dan insyaAllah akan melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan. Sempat saya berpesan kepada mak sebelum kakak bertunang.

"Kakak nanti, mak jangan letak mahal-mahal. Ikut pihak lelaki tu nak bagi berapa. Kita bukan nak jual anak. Kalau mahal-mahal pun menyusahkan pihak lelaki je nanti, lagi masalah."

Pelbagai alasan dan sebab serta hikmah tentang perkahwinan sempat diceritakan kepada mak saya.

Alhamdulillah sekurang-kurangnya saya telah melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya. Selebihnya terpulang kepada mereka untuk melaksanakannya.

Semoga hubungan kakak saya dengan bakal suaminya berkekalan selamanya dan mendapat reda dari Allah. Amin.

0 Comments:

Post a Comment