Makan Daging Unta Tidak Batal Wudhuk Di Sisi Imam Syafie..


Subject: Benarkah makan daging unta akan membatalkan wuduk?

Salam ustaz,


Saya ingin mendapatkan kepastian ustaz mengenai isu batal atau tidak wuduk dengan sebab memakan daging unta ini? Adakah terdapat dalil-dalil mengenai perkara tersebut.? Apa sebab batal wuduk dengan sebab makan daging unta? Adakah hukum tersebut masih diteruskan sehingga kini?

Di harap ustaz dapat memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut. Saya faham apabila ustaz ada menjelaskan kepada saya bahawa ustaz agak sibuk akhir2 ini. Harap ustaz dapat membalas email saya ini bila ustaz ada kelapangan nanti..

Jawapan :

Sebenarnya dalam mazhab Syafie hanya lima perkara sahaja yang membatalkan wudhuk seseorang, antaranya adalah:

1. Keluar sesuatu dari dua jalan (qubul atau dubur).
2. Hilang akal, sama ada sementara atau kekal.
3. Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
4. Menyentuh kemaluan atau pintu dubur dengan telapak tangan.
5. Tidur, kecuali apabila dalam keadaan duduk dan tidak berubah kedudukannya.

Sesetengahnya menambahkan bahawa murtad membatalkan wudhuk bagi Syafie.

Mengenai persoalan akhie itu (makan daging unta batal wudhuk) adalah batal wudhuk bagi mazhab Hambali; ini berdasarkan hadis Jabir bin Samurah r.a, beliau berkata:

Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Adakah kami perlu memperbaharui wudhu’ apabila memakan daging kambing? Jawab baginda: Jika kamu mahu, berwudhu’lah. Jika sebaliknja, tidak mengapa. Ditanya lagi: Adakah kami perlu berwudhu’ apabila memakan daging unta? Jawab baginda: Ya. Berwudhu’lah apabila memakan daging unta. Ditanya lagi: Bolehkah kami solat di kandang kambing? Jawab baginda: Boleh. Ditanya lagi: Bolehkah kami solat di kandang unta? Jawab baginda: Tidak. (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)


Rumusannya;

Makan daging unta itu membatalkan wudhuk pada sisi Imam Ahmad atau mazhab Hambali sahaja.

Adapun di sisi mazhab-mazhab yang lain (Imam Malik, Syafi’ie dan Abu Hanifah), ia (makan daging unta) tidaklah membatalkan wudhuk. Berkenaan hadis tadi, mereka menjawab; maksud wudhuk di dalam hadis tadi ialah membasuh tangan dan mulut untuk tujuan kebersihan. Ini sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; “Nabi meminum susu. Kemudian baginda meminta air, lalu berkumur dan berkata; ‘Sesungguhnya ia berlemak’”. (Riwayat Imam Muslim).

Akhie boleh beramal dengan mazhab Syafie dan perkara yang membatalkan wudhuk pada Syafie hanya 5 perkara sahaja.

Wallahu A'lam!!!

0 Comments:

Post a Comment